Informasi Peralatan Perubatan

"Tambah pengetahuan anda tentang peralatan, sains perubatan, penyakit, serta bagaimana doktor merawat pesakit dalam bahasa yang mudah difahami".

Segala maklumat yang dikongsikan adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan umum sahaja. Ia bukan bertujuan untuk diagnosis, rawatan, atau penggantian nasihat perubatan profesional. Sekiranya anda mempunyai sebarang masalah kesihatan atau pertanyaan berkaitan perubatan, sila berjumpa dan dapatkan nasihat daripada doktor atau penyedia perkhidmatan kesihatan yang bertauliah.

ECG

Mesin ECG untuk merekod aktiviti elektrik jantung

ECG (electrocardiogram) ialah mesin yang digunakan untuk merekod dan memantau aktiviti elektrik jantung. Ia membantu doktor mengesan masalah yang berkaitan dengan jantung seperti serangan jantung, gangguan irama jantung, aliran darah yang tidak normal ke jantung, pembesaran otot jantung, serta mengenalpasti kesan sesetengah ubat yang mengganggu fungsi jantung atau ketidakseimbangan garam mineral di dalam badan.

Rujukan:

Pulse Oximeter

Pulse oximeter untuk mengukur SpO₂ dan kadar nadi

Pulse oximeter ialah sejenis alat kecil yang digunakan untuk mengukur paras oksigen dalam darah dan kadar denyutan nadi. Ia boleh memberikan bacaan dengan pantas dengan memasangnya di hujung jari tanpa perlu mengambil darah. Cahaya dari sensor alat ini boleh menembusi kulit bagi mengira jumlah oksigen dalam darah.

Alat ini berguna untuk pemantauan pesakit yang mengalami masalah paru-paru, jantung, asma, atau semasa pesakit mengsalami jangkitan pernafasan.

Rujukan:

Stethoscope

Stetoskop untuk auskultasi jantung dan paru-paru

Stethoscope ialah alat asas dalam bidang perubatan yang digunakan untuk mendengar bunyi dalam badan seperti degupan jantung, pernafasan paru-paru, bunyi usus, dan aliran darah. Ia berfungsi menghantar getaran bunyi dari diafragma atau loceng stethoscope yang berada di hujung, melalui tiub getah, ke telinga pengguna.

Dengan alat ini, doktor dan anggota kesihatan terlatih boleh mengesan tanda-tanda penyakit seperti degupan jantung tidak normal, paru-paru berdehit akibat jangkitan paru-paru atau asma, atau bunyi tambahan yang menandakan penyakit tertentu.

Rujukan:

IV Drip

IV drip untuk menyalurkan ubat dan nutrisi

IV drip ialah satu kaedah rawatan untuk di mana cecair, ubat, atau nutrien dimasukkan terus ke dalam saluran darah pesakit melalui jarum atau branula. Cecair biasanya disimpan dalam beg plastik khas yang terletak lebih tinggi dan disambungkan dengan tiub ke pesakit. Aliran cecair ini boleh bergerak perlahan secara graviti atau dikawal dengan bantuan pam infusi khas.

Kaedah ini digunakan terutamanya bagi pesakit yang memerlukan rawatan segera, mengalami dehidrasi, atau tidak boleh mengambil ubat melalui mulut, supaya rawatan dapat diberikan dengan cepat dan berkesan terus ke dalam sistem peredaran darah pesakit.

Rujukan:

CT Scan

Mesin CT scan untuk menghasilkan imej tisu badan

CT (Computed Tomography) scan ialah pemeriksaan menggunakan mesin sinar-X khas dan diproses oleh komputer untuk menghasilkan imej organ atau bahagian dalam badan dengan lebih jelas, seolah-olah melihat irisan nipis organ tersebut. Ketika prosedur ini dijalankan, pesakit hanya perlu berbaring di atas meja yang bergerak masuk ke mesin berbentuk bulat. Dalam sesetengah keadaan, doktor akan memberikan cecair khas (kontras) untuk membuat imej menjadi lebih jelas.

Walaupun pemeriksaan ini menghasilkan sedikit radiasi, tahapnya adalah rendah dan terkawal. Namun, pesakit perlu memaklumkan doktor sekiranya hamil, kerana pemeriksaan ini kurang sesuai melainkan penyakit yang betul-betul kritikal.

Rujukan:

Ultrasound

Mesin ultrasound untuk menghasilkan imej organ badan

Ultrasound ialah pemeriksaan yang menggunakan gelombang bunyi frekuensi tinggi untuk menghasilkan imej organ atau bahagian dalam badan tanpa menghasilkan radiasi. Ia biasanya digunakan untuk memeriksa kehamilan, organ dalaman seperti hati, buah pinggang, pundi kencing, serta menilai fungsi jantung dan salur darah. Pesakit hanya perlu berbaring sementara doktor atau jururawat meletakkan gel khas pada kulit dan menggerakkan probe kecil (transducer) di atas kawasan yang diperiksa.

Gelombang bunyi daripada probe akan diproses oleh komputer menjadi imej di skrin. Ultrasound dianggap selamat, termasuk bagi ibu mengandung, dan boleh dilakukan berulang kali tanpa risiko radiasi.

Rujukan:

Echocardiogram

Mesin echocardiogram untuk menghasilkan imej jantung

Echocardiogram ialah pemeriksaan yang menggunakan teknologi ultrasound untuk menghasilkan imej jantung. Dengan ujian ini, doktor dapat melihat saiz, bentuk, fungsi pam jantung, serta keadaan injap jantung dengan lebih jelas. Pesakit hanya berbaring sementara probe ultrasound diletakkan di dada dengan bantuan gel khas. Gelombang bunyi daripada probe akan diproses menjadi imej jantung di skrin.

Echocardiogram sangat berguna untuk mengesan masalah berkaitan jantung seperti injap jantung bocor atau sempit, otot jantung lemah, pengumpulan cecair di sekeliling jantung, dan tekanan darah tinggi dalam paru-paru. Ia dianggap selamat dan bebas radiasi, dan sesuai untuk semua peringkat umur.

Rujukan:

Angiogram

Angioram untuk memeriksa salur darah jantung

Angiogram ialah pemeriksaan yang dilakukan untuk melihat salur darah dalam badan terutamanya di jantung (angiogram koronari) dengan lebih jelas. Pemeriksaan ini membantu untuk menentukan sama ada salur darah tersumbat atau tidak. Ketika pemeriksaan ini, doktor akan memasukkan cecair pewarna khas (kontras) ke dalam salur darah melalui tiub halus, sama ada dari pangkal paha atau pergelangan tangan. Cecair ini kemudian akan kelihatan pada skrin X-ray, membolehkan doktor menilai sama ada terdapat sumbatan, penyempitan, atau kelainan pada salur darah.

Prosedur ini biasanya dilakukan di makmal khas yang dipanggil "catherisation laboratory". Angiogram sangat penting untuk membantu doktor menentukan jenis rawatan lanjut yang sesuai untuk salur darah tersumbat seperti angioplasti (membuka salur darah tersumbat) atau pembedahan pintasan jantung.

Rujukan:

Nebuliser

Mesin nebuliser untuk memberikan ubat pernafasan

Nebuliser ialah mesin yang digunakan untuk menukar ubat cecair menjadi wap halus supaya ia boleh disedut terus ke dalam paru-paru melalui mulut atau hidung. Ia sering digunakan untuk merawat bayi dan kanak-kanak yang mengalami penyakit asma, bronkitis, atau jangkitan pernafasan kerana lebih mudah untuk mereka menyedut ubat melalui cara ini berbanding inhaler biasa.

Semasa prosedur ini, pesakit hanya perlu duduk atau baring dengan topeng kecil atau corong mulut disambungkan ke mesin, dan pesakit hanya perlu bernafas secara biasa. Rawatan biasanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit. Nebuliser membantu membuka saluran pernafasan, melegakan sesak nafas, dan mengurangkan kahak. Ia dianggap selamat, tetapi penggunaannya mesti dipantau oleh doktor bagi mengelakkan penyalahgunaan ubat.

Rujukan:

Stress Test

Ujian stress test untuk memeriksa fungsi jantung semasa bersenam

Stress Test ialah pemeriksaan untuk menilai fungsi jantung semasa bekerja lebih kuat iaitu ketika badan bergerak atau bersenam. Pesakit akan diminta berjalan atau berlari perlahan di atas treadmill, sambil alat ECG dipasang di dada pesakit untuk memantau degupan dan aktiviti elektrik jantung. Tekanan darah dan tahap oksigen juga akan diperiksa dari semasa ke semasa.

Ujian ini membantu doktor mengesan sama ada terdapat salur darah jantung tersumbat, irama jantung tidak normal, atau masalah lain yang hanya muncul ketika jantung bekerja keras. Stress test biasanya selamat, tetapi ia akan dilakukan di bawah pemantauan rapat anggota kesihatan terlatih bagi memastikan keselamatan pesakit.

Rujukan:

Holter Test

Mesin holter untuk memeriksa aktiviti elektrik jantung

Holter monitor ialah mesin mudah alih yang digunakan untuk merekod aktiviti elektrik jantung. Berbanding ECG yang merekodkan aktiviti jantung untuk hanya beberapa saat hingga minit, Holter pula dipasang 24 hingga 48 jam dan menunjukkan rekod secara berterusan mengikut jangkamasa mesin ini dipasang. Alat ini dipakai oleh pesakit pada badan dengan elektrod dilekatkan di dada, dan disambungkan ke perakam kecil yang boleh dibawa ke mana-mana.

Mesin ini membantu doktor mengesan irama jantung tidak normal (aritmia) atau masalah yang mungkin tidak muncul ketika pemeriksaan ECG biasa yang hanya berlangsung beberapa saat. Sepanjang tempoh pemakaian, pesakit diminta menjalankan aktiviti harian seperti biasa sambil mencatat gejala yang dialami. Rekod dari mesin Holter kemudian dianalisis oleh doktor bagi membantu membuat diagnosis atau menilai keberkesanan rawatan.

Rujukan:

Spirometry

Mesin spirometri untuk memeriksa fungsi paru-paru

Spirometry ialah ujian fungsi paru-paru yang mengukur berapa banyak udara yang boleh disedut dan dihembus oleh pesakit, serta kelajuan hembusan tersebut.

Ujian ini digunakan untuk mengesan penyakit paru-paru seperti asma, penyakit paru-paru obstruktif kronik, atau menilai keberkesanan rawatan yang diberikan. Semasa ujian, pesakit akan diminta bernafas melalui corong khas yang disambungkan kepada mesin komputer. Bacaan akan menunjukkan graf aliran udara dan isipadu paru-paru, yang kemudian dianalisis oleh doktor.

Rujukan:

EEG Test

Mesin EEG untuk memeriksa aktiviti elektrik otak

Electroencephalogram (EEG) ialah ujian yang merekodkan aktiviti elektrik otak menggunakan elektrod yang dilekatkan pada kulit kepala. Mesin ini digunakan untuk menilai fungsi otak, terutamanya bagi mengesan masalah yang berkaitan dengan sawan (epilepsi), gangguan tidur, kecederaan otak, atau penilaian sebelum pembedahan otak.

Pemeriksaan ini tidak menyakitkan dan pesakit hanya perlu duduk atau baring dengan tenang semasa prosedur dijalankan. Data daripada EEG ini akan menunjukkan corak gelombang otak yang membantu doktor membuat diagnosis.

Rujukan:

Colonoscopy

Mesin colonoscopy untuk melihat bahagian dalam usus besar

Colonoscopy ialah satu prosedur yang menggunakan tiub fleksibel berkamera kecil di hujungnya, dipanggil colonoscope, untuk melihat secara langsung keadaan dalam usus besar dan rektum. Ia digunakan untuk mengesan penyakit seperti polip (ketumbuhan bukan kanser), pendarahan, keradangan, atau kanser usus besar. Semasa prosedur, alat ini akan dimasukkan melalui dubur, dan pesakit biasanya diberikan ubat pelali untuk keselesaan. Doktor boleh mengambil sampel tisu (biopsi) terutamanya jika ia kelihatan tidak normal, atau membuang polip kecil semasa colonoscopy dijalankan.

Rujukan:

OGDS

Mesin OGDS untuk melihat bahagian dalam perut dan usus kecil

OGDS (OesophagoGastroDuodenoscopy) ialah prosedur menggunakan tiub fleksibel berkamera (endoscope) untuk melihat secara langsung bahagian dalam salur makanan (esofagus), perut (gaster), dan bahagian awal usus kecil (duodenum).

Ia dilakukan bagi mengenal pasti punca gejala seperti sakit perut, muntah berdarah, susah menelan, atau ulser. Semasa prosedur, alat ini akan dimasukkan melalui mulut, dan pesakit biasanya diberikan ubat pelali agar lebih selesa. Doktor boleh mengambil sampel tisu (biopsi) atau merawat masalah tertentu seperti menghentikan pendarahan melalui skop tersebut.

Rujukan:

Audiometry

Mesin audiometri untuk memeriksa tahap pendengaran

Audiometry ialah ujian untuk menilai tahap pendengaran seseorang menggunakan alat khas yang dipanggil audiometer. Semasa ujian, pesakit akan memakai fon kepala di dalam bilik kalis bunyi (sound booth) dan mendengar bunyi pada pelbagai frekuensi dan kekuatan. Pesakit diminta memberi isyarat apabila terdengar bunyi tersebut.

Hasil ujian direkodkan dalam bentuk audiogram, iaitu graf yang menunjukkan tahap pendengaran bagi setiap telinga. Audiometry digunakan untuk mengesan masalah pendengaran dan menentukan tahap keterukan, serta membantu doktor menentukan rawatan yang sesuai seperti alat bantu pendengaran atau rawatan lain.

Rujukan:

Otoscopy

Alat otoscopy untuk melihat bahagian dalam telinga

Otoscopy ialah pemeriksaan telinga menggunakan alat khas yang dipanggil otoscope. Alat ini mempunyai cahaya dan kanta pembesar untuk membolehkan doktor melihat dengan jelas bahagian dalam saluran telinga sehingga ke gegendang telinga.

Otoscopy digunakan untuk mengesan masalah berkaitan telinga seperti jangkitan telinga, tahi telinga tersumbat, kecederaan gegendang, atau tanda-tanda lain penyakit telinga. Prosedur ini cepat, tidak menyakitkan, dan biasanya dilakukan sebagai sebahagian daripada pemeriksaan rutin pendengaran.

Rujukan:

Snellen Chart

Snellen chart untuk memeriksa ketajaman penglihatan (visual acuity)

Snellen Chart ialah papan ujian penglihatan yang digunakan untuk menilai ketajaman penglihatan seseorang (visual acuity). Papan ini biasanya mempunyai huruf bersaiz besar di bahagian atas, dan saiz huruf menjadi semakin kecil ke bawah. Ujian dilakukan dengan meletakkan pesakit pada jarak tertentu, lazimnya 6 meter, daripada carta tersebut.

Semasa ujian, pesakit diminta menutup sebelah mata dan membaca huruf bermula dari barisan atas ke bawah sehingga mereka tidak lagi dapat mengenal pasti huruf dengan betul. Pemeriksa akan mencatat barisan terakhir yang boleh dibaca dengan tepat sebagai keputusan ujian.

Hasil ujian ditulis dalam bentuk pecahan, seperti 6/6, bermaksud pesakit boleh membaca pada jarak 6 meter apa individu normal juga boleh baca pada jarak 6 meter. Jika keputusannya 6/12, ia menunjukkan bahawa pesakit hanya boleh membaca pada jarak 6 meter apa yang orang berpenglihatan normal boleh baca dari jarak 12 meter (rabun). Snellen Chart merupakan ujian mudah, cepat, dan sering digunakan di klinik, hospital, serta kedai cermin mata untuk saringan tahap penglihatan.

Rujukan:

Slit lamp

Mesin slitlamp untuk memeriksa mata secara

Slit lamp ialah sejenis mikroskop khas dengan cahaya terang yang digunakan untuk memeriksa mata dengan lebih terperinci. Ia membolehkan doktor memeriksa bahagian penting mata seperti lapisan jernih di depan mata (kornea), lapisan nipis yang melapisi putih mata dan bahagian dalam kelopak (konjunktiva), kanta mata, bahagian berwarna mata (iris), serta gel jernih di dalam bola mata (vitreous).

Fungsi utama alat ini adalah untuk membantu doktor mengesan masalah yang berkaitan dengan mata seperti katarak, glaukoma, jangkitan mata, kecederaan kornea, atau penyakit retina tertentu.

Semasa pemeriksaan, pesakit akan duduk di kerusi khas dan meletakkan dagu serta dahinya pada penyokong. Doktor kemudian akan mengarahkan cahaya berbentuk jalur nipis ke dalam mata pesakit sambil melihat struktur mata melalui mikroskop. Dengan cara ini, doktor boleh memeriksa mata dengan pembesaran yang jelas, seolah-olah menggunakan “mikroskop” khas.

Rujukan:

Ventilator

Mesin ventilator untuk menyokong pernafasan pesakit yang tenat

Ventilator ialah mesin bantuan pernafasan yang digunakan khasnya di unit rawatan rapi (ICU) untuk membantu pesakit yang berada dalam keadaan kritikal dan tidak mampu bernafas sendiri. Mesin ini menolak udara yang mengandungi oksigen masuk ke paru-paru dan kemudian membenarkan udara keluar semula, sama ada sepenuhnya dikawal oleh mesin atau sebahagiannya bergantung pada kemampuan pesakit.

Pesakit biasanya disambungkan ke mesin ventilator ini melalui tiub pernafasan (endotracheal tube) yang dimasukkan terus ke dalam saluran pernafasan, atau kadang-kadang melalui trakeostomi iaitu lubang buatan kecil di leher.

Kenapa ventilator penting?

Ventilator memastikan oksigen yang cukup sampai ke paru-paru dan seluruh badan ketika pesakit berada dalam keadaan tenat dan tidak mampu bernafas sendiri. Ia memberi masa kepada paru-paru dan organ lain untuk pulih daripada penyakit atau kecederaan. Ia boleh menyelamatkan nyawa dalam keadaan kegagalan pernafasan, radang atau jangkitan paru-paru yang teruk, serangan asma kritikal, kecederaan otak, atau selepas pembedahan major.

Kenapa pesakit biasanya perlu “ditidurkan”?

Tiub pernafasan yang dimasukkan ke dalam saluran pernafasan boleh menyebabkan rasa tidak selesa serta merangsang refleks batuk atau muntah yang kuat. Justeru, pesakit biasanya diberikan ubat pelali (ditidurkan) supaya mereka tidak berasa sakit atau tertekan semasa bergantung kepada mesin ini.

Rujukan:

Branula

Gambar branula

Branula (intravenous cannula) ialah alat dengan tiub kecil yang dimasukkan ke dalam salur darah (secara spesifiknya vena), biasanya di tangan atau lengan. Alat ini membolehkan ubat, cecair intravena (IV drip), atau darah boleh diberikan terus ke dalam saluran darah pesakit terutamanya dalam situasi kecemasan atau rawatan yang lebih intensif diperlukan.

Sekiranya digunakan untuk memasukkan cecair, branula akan disambungkan kepada tiub IV drip yang seterusnya bersambung dengan beg cecair intravena.

Rujukan:

Ryle's Tube

Gambar ryle's tube

Ryle’s tube (nasogastric tube) ialah tiub panjang dan fleksibel yang dimasukkan melalui hidung pesakit hingga ke dalam perut. Ia digunakan untuk memberi makanan cecair, ubat-ubatan, atau mengeluarkan kandungan perut pesakit.

Tiub ini sangat berguna untuk merawat pesakit yang tidak boleh makan atau minum secara normal melalui mulut, contohnya pesakit strok yang tidak boleh menelan, pesakit yang tidak sedar atau koma, mereka yang mengalami penyempitan salur tekak atau esofagus, atau pesakit dengan muntah berterusan dan usus tersumbat. Dalam keadaan tertentu, ia juga digunakan untuk menyedut keluar darah, racun, cecair berlebihan, atau isi kandungan dari perut untuk tujuan diagnostik.

Rujukan:

Nasal Prong

Gambar nasal prong

Nasal prong ialah alat perubatan pakai buang yang digunakan untuk memberikan oksigen terus ke rongga hidung melalui dua tiub kecil yang dimasukkan ke dalam lubang hidung dan disambungkan ke sumber oksigen.

Ia biasanya digunakan untuk memberikan oksigen beraliran rendah hingga sederhana, kerana alat ini lebih selesa berbanding topeng muka penuh. Namun penggunaan berpanjangan perlu diawasi bagi mengelakkan bahagian dalam hidung menjadi gatal atau pedih.

Antara keadaan yang memerlukan terapi oksigen ialah pesakit paru-paru seperti COPD, asthma, penyakit jantung, atau selepas pembedahan, atau mereka yang memerlukan terapi oksigen jangka panjang dirumah.

Rujukan:

Tendon Hammer

Gambar tendon hammer

Tendon hammer ialah alat yang digunakan oleh doktor untuk menguji deep tendon reflex (DTR), iaitu refleks otot apabila tendon diketuk. Alat ini membantu doktor menilai fungsi dan kesihatan sistem saraf tunjang. Apabila tendon (lutut atau buku lali) diketuk dengan hammer ini, otot yang berkaitan akan mengecut secara automatik, dan tindak balas ini boleh memberi petunjuk sama ada terdapat masalah saraf atau tidak.

Terdapat beberapa jenis tendon hammer yang digunakan pada waktu sekarang, ini termasuk Taylor hammer, Troemner hammer, Queen Square hammer, dan Babinski hammer, yang masing-masing direka untuk memberikan ketukan dengan cara yang konsisten tanpa menyebabkan kesakitan kepada pesakit. Walaupun peralatan imbasan moden seperti MRI dan CT banyak digunakan ketika ini, pemeriksaan refleks dengan tendon hammer ini masih relevan sebagai komponen asas dalam pemeriksaan sistem saraf.

Rujukan: